Recent Posts

Wednesday, June 15, 2011

Posted by STRATEGI MELAYU On 8:35 AM 0 comments

Bagaimana milikan ekuiti Melayu?

SAYA bukan pakar ekonomi seperti Anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang berkelulusan Oxford. Saya cuma anak kampung berjiwa Melayu tulen dan berkelulusan setakat Universiti Teknologi Mara (UiTM) tetapi saya telah berjuang hampir 30 tahun membela bangsa Melayu dan bumiputera serta rakyat Malaysia dalam semua aspek kehidupan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Saya berpendapat, soalan pokok paling sesuai pada hari ini adalah seperti berikut:

Soalan pertama: Mengapakah bangsa Melayu dan bumiputera menerima kuota 30 peratus dalam pemilikan ekuiti ekonomi negara dan mengapakah peratusan ini sentiasa diungkit-ungkit oleh segolongan bukan Melayu dan bukan bumiputera?

Soalan kedua: Mengapakah rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan bumiputera serta rakyat asing, diperuntukan pemilikan ekuiti ekonomi 70 peratus (40 peratus bukan bumiputera dan 30 peratus rakyat asing) dan kenapakah bangsa Melayu dan bumiputera, tidak pernah ungkit-ungkit soal peratusan ini?

Saya ketengahkan dua soalan pokok ini untuk kita cari punca dan sebab.

SOSIO-EKONOMI

Pada tahun 1957, penduduk negara kita adalah seramai 6.36 juta orang. Seramai 3.12 juta adalah bangsa Melayu dan bumiputera, 2.33 juta penduduk keturunan Cina, 690,000 keturunan India, dan 120,000 lagi lain-lain keturunan.

Pada tahun 1957 juga, seramai 1,666,969 penduduk di negara kita, tinggal dalam kawasan bandar. Malangnya dari jumlah ini, cuma 21 peratus sahaja adalah penduduk bangsa Melayu dan Bumiputera. Selebihnya, sebanyak 62.6 peratus adalah penduduk keturunan Cina, 12.8 peratus keturunan India, dan lain-lain keturunan sejumlah 3.6 peratus.

Maknanya, pada tahun 1957 majoriti bangsa Melayu dan bumiputera, masih tercerok di kampung dan belukar dengan kemudahan awam yang sifar, tidak ada air paip, tidak ada lampu elektrik, tidak ada jalan batu, tidak ada telefon, tidak ada klinik, sekolah pun masih macam reban ayam.

Pada tahun 1970, setelah negara kita merdeka 13 tahun lamanya, penduduk bangsa Melayu dan bumiputera dalam bandar hanya sebanyak 14.8 peratus, pada tahun 1975 baru jadi 18 peratus, dan pada tahun 1980 baru meningkat kepada 21.3 peratus.

Pada waktu yang sama, bilangan penduduk keturunan Cina yang tinggal di kota-kota pada tahun 1970 adalah 47.7 peratus, pada tahun 1975 jadi 50.8 peratus, dan pada tahun 1980 meningkat kepada 54 peratus. Peratusan penduduk keturunan India pun meningkat jauh lebih tinggi daripada peratusan bangsa Melayu dan bumiputera yang tinggal di bandar. Pada tahun 1970, sebanyak 34.6 peratus, pada tahun 1975 bertambah jadi 37.8 peratus, dan pada tahun 1980 meningkat lagi kepada 41 peratus.

Saya huraikan perangkaan antik ini untuk mendorong kita semua berfikir, bertanya dan menyoal diri sendiri: mengapa tidak ada antara kita yang berani mengatakan hakikat ini kepada rakyat Malaysia keturunan Cina dan India yang masih terus-menerus mendakwa kononnya bangsa Melayu dan bumiputera adalah anak emas kerajaan? Mengapa tidak ada kelompok pemuda bangsa Melayu dan bumiputera yang berani mempersoalkan: Inikah taraf kedaulatan tradisional bangsa teras, atau pribumi Malaysia?

Perangkaan mengenai jumlah kecil bangsa Melayu dan bumiputera yang tinggal di kota-kota ini, berbanding keturunan Cina dan keturunan India yang lebih tinggi, sudah cukup untuk membuktikan betapa daifnya bangsa Melayu dan bumiputera, walaupun bumi ini asalnya dikenali sebagai Tanah Melayu.

PERNIAGAAN

Perangkaan ini juga sudah cukup untuk membuktikan bahawa gedung-gedung di kota-kota di seluruh Malaysia pada hari ini, sebilangan besarnya adalah milik bukan Melayu dan bukan bumiputera; kereta besar yang menjalar di kota-kota pada hari ini, majoritinya adalah milik mereka; berjuta liter air paip di kota-kota pada hari ini, majoritinya merekalah yang minum dan guna; berjuta-juta watt tenaga elektrik di kota-kota pada hari ini, majoritinya mereka juga yang guna; bas, treler dan bulldozer yang sibuk lalu-lalang di kota-kota pada hari ini, sebilangan besarnya adalah milik mereka; sampaikan kedai runcit dan mini-market di kota-kota pada hari ini pun majoritinya mereka yang punya.

Saya tidak cakap kosong. Ini buktinya. Pada tahun 1970, jumlah bangsa Melayu dan bumiputera yang memiliki atau menyertai perindustrian, perlombongan, perkilangan, pembinaan, perniagaan, pemborong runcit, pengangkutan teksi, bas dan pengangkutan barang cuma sebanyak 14.5 peratus, dan meningkat kepada 39.9 peratus pada tahun 1975.

Sebaliknya, jumlah keturunan Cina dalam semua bidang yang saya sebutkan itu adalah sebanyak 69.4 peratus pada tahun 1970, dan merosot kepada 41.3 peratus pada tahun 1975. Pemilikan dan penyertaan keturunan India pada tempoh yang sama adalah sebanyak 6.0 peratus pada tahun 1970, dan menurun kepada 4.4 peratus pada tahun 1975.

Peratusan ini memang menunjukkan peningkatannya bagi penyertaan bangsa Melayu dan bumiputera. Tapi, peningkatan yang dibuktikan oleh perangkaan yang saya sebutkan ini, hanyalah dalam bidang perniagaan buat budu, buat keropok, buat cincalok, buat kicap, buat cili bo, buat tempe, buat serbuk kopi, dan lain-lainnya.

Maksud saya, peningkatan peratusan di kalangan bangsa Melayu dan bumiputera ini adalah peratusan dalam sektor yang asas. Peratusannya meningkat, sebab dulu peratusan penyertaan mereka sifar. Tapi, peratusan di kalangan keturunan Cina dan India nampak menurun, sebab mereka sudah tinggalkan perniagaan yang asas, dan memasuki perniagaan yang baru, di peringkat pertengahan dan di peringkat tinggi, di mana untungnya pun lebih lumayan dan besar.

Ini bermakna, bukan Melayu dan bukan bumiputera sudah menceburi perniagaan yang lebih menguntungkan, sedangkan bangsa Melayu dan bumiputera masih merangkak-rangkak untuk memulakan bisnes secara asas. Oleh sebab itu, bila kita tolak-campur, darab-bahagi, bukan Melayu dan bukan bumiputera adalah pihak yang terus-menerus mengaut kekayaan yang cukup besar di negara kita.

Tetapi, kalaulah ada pihak bukan Melayu dan bukan bumiputera yang hendak tuduh saya sebagai rasis, sebagai perkauman, atau kononnya sengaja hendak putar belitkan perangkaan, mari sama-sama kita singkap kembali satu lagi sejarah, beberapa tahun sebelum merdeka, dan pada tahun kemerdekaan negara kita.

Mantan Presiden MCA, Ling Liong Sik, pernah menulis dalam bukunya terbitan tahun 1995, dan mengatakan bahawa pada tahun 1937, iaitu 20 tahun sebelum negara kita merdeka, pelaburan etnik Cina di Malaysia pada ketika itu adalah sebanyak AS$200 juta, atau kira-kira RM700 juta.

Pelaburan kapitalis asing pada tempoh yang sama, adalah sejumlah AS$454.5 juta, atau lebih RM1,000 juta. Pelaburan bangsa Melayu dan bumiputera, Liong Sik tidak sebut. Maknanya, pelaburan bangsa Melayu dan bumiputera ketika itu adalah zero, kosong, atau sifar.

Lepas itu, Gomez dan Jomo Sundram menulis dalam bukunya terbitan tahun 1997 dan menegaskan bahawa, pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus hingga 75 peratus daripada perdagangan eksport dan 60 peratus hingga 70 peratus perdagangan import di negara ini. Syarikat-syarikat etnik Cina menguasai 10 peratus daripada agensi eksport. Dan syarikat etnik India menguasai 2 peratus daripada perdagangan berkenaan.

Kedua-dua penulis ini juga menyatakan, bangsa Melayu pada ketika itu, langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan. Sekali lagi, ini bermakna pelaburan bangsa Melayu dan bumiputera ketika itu adalah zero, kosong dan sifar.

Laporan Jabatan Statistik Kuala Lumpur bagi tahun 1958-1969, pula menyatakan, pada tahun 1957, etnik Cina menguasai ekonomi Malaysia secara kukuh, sementara bangsa Melayu masih dalam kemiskinan. Maka jelaslah kepada kita semua, bahawa pada tahun bangsa Melayu dan bumiputera semua menjeritkan perkataan Merdeka, Merdeka, Merdeka, bangsa Melayu dan bumiputera pada ketika itu, langsung tidak memiliki apa satu pun pelaburan di negara mereka sendiri.

Dengan itu, adakah salah dan adakah dosa besar, kalau bangsa Melayu dan bumiputera diberikan keistimewaan untuk memiliki ekuiti sebanyak 30 peratus dalam zaman merdeka? Oleh sebab itu juga zalim atau menindaskah kerajaan, kalau keturunan Cina dan keturunan India yang memang sudah memiliki perniagaan sejak sebelum merdeka diberikan peratusan yang lebih besar daripada bangsa Melayu dan Bumiputera, yang ketika itu masih papa kedana dan masih merempat-rempat di tanah airnya sendiri?

Berdasarkan fakta dan hakikat seperti ini juga, adakah salah, dan adakah jadi dosa besar, kalau kebelakangan ini wujud beberapa pertubuhan yang bangkit untuk mempertahan, melindungi, serta memperkasakan hak-hak sosio-ekonomi dan politik bangsa Melayu dan bumiputera?

Saya kemukakan pertanyaan ini, sebab sekarang sudah muncul segelintir bangsa Melayu yang cerdik, pandai, dan intelektual, yang mula buat kenyataan dan tuduhan terhadap Perkasa, kononnya pertubuhan seperti Perkasa adalah NGO berhaluan kanan, walaupun Perkasa bergerak untuk mempertahan, melindungi serta memperkasakan hak-hak bangsa Melayu dan bumiputera.

REALITI SEMASA

Pada waktu yang sama, realitinya pada hari ini jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2010 adalah seramai 27,565,821. Bangsa Melayu dan bumiputera masih kekal sebagai penduduk majoriti Malaysia pada kadar 66.7 peratus, sementara rakyat keturunan Cina 24.6 peratus, dan rakyat keturunan India 7.4 peratus. Bagaimanapun, kita semua juga insaf pada tahun yang sama jumlah pemilikan ekuiti bangsa Melayu dan bumiputera dalam sektor korporat masih belum mencapai sasaran 30 peratus.

Dengan itu, bila saya dan bila Perkasa terus berjuang untuk mempertahankan kedudukan sosio-ekonomi bangsa Melayu dan bumiputera, saya bukan rasis dan Perkasa bukannya NGO perkauman atau berhaluan kanan. Saya dan Perkasa bertindak sebab bangsa Melayu dan bumiputera secara relatifnya masih daif, masih tertinggal dan masih perlukan pembelaan pemerintah.

Oleh sebab itu, kalau pada hari ini bangsa Melayu dan bumiputera dapat ekuiti 30 peratus, ini bermakna ekuiti ini tidaklah sebanyak mana kerana dulu-dulunya mereka memang benar-benar papa kedana. Oleh sebab itu juga, kalau hari ini bukan Melayu dan bukan bumiputera dapat ekuiti 70 peratus, ini bermakna kerajaan kita cukup adil kerana walaupun mereka sudah terkedepan sejak sebelum merdeka, masih tetap diberikan ekuti yang besar pada zaman merdeka.

Ini membuktikan bahawa, walaupun mereka minoriti, kerajaan tetap tidak menindas mereka, dan bangsa Melayu serta bumiputera juga tidak mencemburui peratusan ekuiti bukan Melayu. Ini juga bermakna, bukan Melayu sepatutnya bersyukur, sebab kekayaan bumi yang kedaulatan tradisionalnya dimiliki oleh bangsa Melayu dan bumiputera terus-menerus mereka nikmati tanpa siapa hendak ancam atau ganggu mereka.

Ini bermakna bahawa keselamatan ekonomi bukan Melayu terus terjamin sejak sebelum merdeka, sampai selepas merdeka. Ini juga bermakna bahawa keselamatan ekonomi bangsa Melayu dan bumiputera masih berada di tahap yang perlu diperkukuh dan diperkasa.

Dengan itu, saya cukup yakin, golongan bukan Melayu dan bukan bumiputera yang tidak pernah jemu-jemu mempertikaikan ekuiti 30 peratus yang dikhaskan kepada bangsa Melayu dan bumiputera pun menyedari dan menginsafi hakikat dan fakta ini. Saya juga cukup percaya, golongan bangsa Melayu dan bumiputera yang kini bersekongkol untuk menyemarakkan api kebencian terhadap bangsa Melayu dan bumiputera, menerusi isu pemilikan ekuti 30 peratus pun faham dan amat insaf akan fakta dan hakikat ini.

Lantaran itu, saya juga cukup yakin dan cukup pasti, bahawa puak-puak bukan Melayu, bukan bumiputera, serta segolongan bangsa Melayu dan bumiputera yang kini mempertikaikan isu pemilikan 30 peratus ekuiti ekonomi bukannya atas sebab kononnya mereka tertinggal, tertindas atau dianak-tirikan di negara bertuah ini. Sebaliknya, mereka bertindak menyemarakkan sentimen ini, semata-mata atas motivasi politik, atas motivasi kekuasaan, supaya rakyat membenci kerajaan dan supaya mereka pula dapat jadi kerajaan.

Oleh sebab itu, saya amat insaf dan amat yakin, bahawa sebilangan rakyat Malaysia tidak akan terikut-ikut dengan perbuatan dan tindakan puak-puak ini. Tidak ada kerajaan yang lebih adil dalam dunia ini, melainkan pemerintah Malaysia pada hari ini. Tidak ada bangsa teras yang lebih budiman di dunia ini, melainkan bangsa Melayu dan bumiputera. Oleh sebab itu, marilah sama-sama kita menuju destini hidup yang sama, iaitu untuk memelihara dan mempertahankan kemerdekaan negara kita dan kedaulatannya, pada sepanjang masa.

Pada hakikatnya, hasrat dan semangat perlembagaan menuntut equitability atau kesaksamaan bagi semua kaum dalam pegangan equitable stake ekonomi negara. Ini bererti equitable stake bagi bangsa Melayu dan bumiputera dalam ekonomi negara ini mesti mencapai tahap penguasaan, iaitu lebih daripada 50 peratus dan bukannya setakat 30 peratus sahaja. Angka 30 peratus itu hanya sebagai satu threshold untuk menuju kepada tahap equitability yang lebih tinggi.

Semenjak merdeka hingga kini, iaitu dalam masa 50 tahun yang lampau, kerajaan telah mengorak beberapa langkah seperti menggubal Dasar Ekonomi Bumiputera sebagai initiative economic redress, dengan menggunakan affirmative policies dan kuota sebagai strategi. Semua dasar-dasar tersebut walaupun tidak begitu sempurna kerana mengalami ketirisan dalam pelaksanaannya, terbukti telah mencapai kejayaan yang agak signifikan. Tinggal lagi, semua dasar itu perlu dilipat ganda, diperluas, diperkemas dan dipelbagaikan lagi untuk menghadapi keadaan yang lebih mencabar.

CADANGAN

Maka saya mencadangkan perkara-perkara berikut:

* Semua dasar ekonomi hendaklah disandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan agenda bangsa Melayu dan bumiputera dipupuk dan bukannya diabai atau terus dimansuhkan.

* Tuntutan Perlembagaan Persekutuan hendaklah menjadi sebahagian daripada terma rujukan atau term of reference kepada semua dasar negara terutama sekali dasar-dasar ekonomi.

* Dasar-dasar afimatif atau affirmative policies dan tindakan afimatif atau affirmative action perlu dilipat ganda, diperluas dan dipertajamkan lagi.

* Kesaksamaan atau equitability mesti menjadi paksi kepada dasar ekonomi.

* Semua organisasi amanah atau trust organisation yang pernah ditubuhkan dengan banyaknya seperti Mara, UDA, SEDC dan sebagainya hendaklah diperkasakan semula dan ditugaskan untuk mencapai agenda bangsa Melayu dan bumiputera.

* Oleh kerana usaha-usaha kerajaan sahaja tidak memadai, sektor swasta juga hendaklah terikat dengan agenda bangsa Melayu dan bumiputera sebagai Agenda Negara.

* Institusi-institusi Pelajaran Tinggi (universiti-universiti) swasta di negara ini harus tertakluk dan melaksanakan segala kuota penempatan mengikut dasar kerajaan.

* Jika dasar-dasar kerajaan dipantau dan disandarkan kepada Perlembangaan, sensitiviti politik tidak harus menjadi konstrain, sebab Perlembagaan adalah konsensus nasional berlandaskan national collective conscience.

* Agenda bangsa Melayu dan bumiputera hendaklah menjadi Agenda Negara untuk mencapai kestabilan dan kesejahteraan negara yang mampan atau sustainable.

Demikian huraian saya mengenai sosio-ekonomi bangsa Melayu dan bumiputera. Moga-moga semua ini jadi renungan kepada kita semua, dan moga-moga semua ini akan diterjemahkan kepada strategi dan tindakan oleh pihak pemerintah.

(Rencana ini adalah petikan kertas ucapan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali di Simposium Dilema Melayu, Pusat Dagangan Dunia Putra, pada 12 Februari 2011)

Friday, May 27, 2011

Posted by STRATEGI MELAYU On 6:05 PM 1 comments

KERANA SKIM CEPAT KAYA, LEBAI DIBURU.



Seorang ustaz yang mengaku bergelar Datuk, antara enam individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kes penipuan skim cepat kaya dan pengambilan deposit secara haram membabitkan penyelewengan mencecah RM200 juta sejak Disember 2008.

Suspek, Harun Mat Saat, 45, yang beralamat terakhir di 70, Rumah Murah Kos Rendah, Telaga Daeng Satu, Seberang Takir, Kuala Terengganu dipercayai menjadi dalang bagi ‘projek pelaburan’ dijalankan syarikatnya, Dina Group Sdn Bhd

sumber : mymetro

Lagi JERAT CEPAT KAYA : Klik SINI


Pesanan daripada PPSMM :

"Melabur ke atas ilmu pengetahuan adalah lebih penting dari melabur terus! "


inginkan info pelaburan di Bursa Malaysia?

KLIK BURSAMALAYSIA & ZAMSAHAM.COM juga ZAMSAHAM.BLOGSPOT.COM


Ingin mengetahui Info & pendedahan skim cepat kaya? Klik mlmscam.net

Saturday, May 21, 2011

Posted by STRATEGI MELAYU On 5:36 PM 1 comments

Pelabur, Strategi dan Persatuan

1. Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM) adalah sebuah persatuan pemikir dan bertindak yang memperjuangkan kepentingan-kepentingan Melayu yang strategik terutamanya pada bidang ekonomidan pendidikan melalui pemilikan aset-aset dan alat-alat yang strategik serta melalui kaedah-kaedah yang sah. Perkara ini ada dinyatakan dengan jelas di dalam matlamat penubuhan PPSMM.

2. Perkataan pelabur jika diterjemahkan secara langsung bermaksud seseorang yang mempunyai sumber kewangan dan menggunakannya bagi mencapai sesuatu yang diinginkan pada masa depan. Keinginan yang hendak dicapai boleh sahaja berbentuk kewangan dan material mahupun kepuasan hati. Namun istilah pelabur yang ingin digunakan disini bukanlah semata-mata merujuk kepada keupayaan dari segi wang dan harta benda. Yang paling penting sekali adalah ilmu dan pengetahuan yang boleh menjadi daya penggerak kepada segala cita-cita yang diinginkan. Asalkan seseorang itu mempunyai ilmu dan kemahuan yang cenderung ke arah kebaikan dan ingin mendapatkan keredhaan Allah, maka si dia adalah seorang pelabur yang bakal menuai hasil di dunia dan akhirat bukan untuk dirinya sahaja, bahkan untuk generasi yang akan mewarisinya.

3. Kata strategi atau strategy dalam bahasa Inggeris berasal daripada bahasa Greek Kuno iaitu stratos (bermaksud tentera) + ago (bermaksud memimpin). Daripada dua kata itu terbinalah kata strategos yang bermaksud pemimpin atau pemerintah ketumbukan tentera. Daripada kata strategos terbina pula kata strategia yang bermaksud jawatan jeneral atau kepemimpinan jeneral (en.wiktionary.org/wiki/strategy). Konsep awal strategi yang digunakan tentera merujuk peranan utama yang dimainkan seseorang jeneral yang memerintah bala tenteranya. Peranan utama jeneral tentera, antara lain, ialah menyusunkan dan mengendali bala tentera dan kelengkapan atau logistik peperangan untuk menewaskan tentera musuh.
Harvard Business Essentials (2005) menyimpulkan bahawa strategi ialah suatu pelan atau cara untuk mencapai sesuatu. Pelan dirancangkan supaya tercipta kelebihan daya saing (competitive advantage) sesebuah organisasi berbanding dengan pesaingnya. Kelebihan daya saing dapat dimiliki jika tindakan atau proses pembedaan (differentiation) dilaksana. Ia juga menjelaskan bahawa strategi ialah proses berfikir yang dilaksana oleh seseorang atau sekumpulan orang (lazimnya pemilik atau kepemimpinan organisasi) yang mencuba memahami dan mencari jawaban bagi pertanyaan-pertanyaan tentang „what you do and what you don’t do, „what you want to become, dan – yang paling penting „focusing on how you plan to get there. Pelan ini menggariskan sempadan di sekeliling skop hasrat sesebuah organisasi. Usul buku ini tentang konsep strategi menyamai pandangan yang dibuat lebih awal oleh Porter (1996) apabila beliau mengatakan bahawa strategi “...renders choices about what not to do as important as choices about what to do”

4. Strategik pula merujuk kepada alat-alat yang penting yang perlu dikuasai dan digunakan bagi melaksanakan strategi yang dirangka. Pengunaan alat yang tepat dan bersesuaian akan menentukan sama ada strategi yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan atau sebaliknya. Strategi yang dapat dilaksanakan dengan berkesan akan dapat memberikan hasil yang diinginkan dengan sepenuhnya pula.

5. Sebagai contoh, strategi untuk menang di medan perang ada banyak cara dan di antaranya ialah dengan cara perang gerila, iaitu dengan cara serang dan lari. Satu cara yang lain ialah dengan memusnahkan musuh dalam skala yang besar tetapi dengan cara sekali serangan. Jika memilih kaedah serangan gerilla sebagai strategi untuk menang, maka lokasi yang tersembunyi, terpencil dan mudah untuk meloloskan diri setelah menyerang musuh perlu dikuasai kerana dianggap sebagai lokasi yang strategik. Jika memilih untuk memusnahkan musuh dalam skala yang besar tetapi dengan cara sekali serangan, maka senjata nuklear atau sejata kimia atau senjata biologi merupakan alat @ senjata yang strategik yang perlu dimiliki.

6. Maka, sekiranya kita ingin melihat segala strategi yang kita rancang bagi mencapai sesuatu matlamat yang ditentukan berjaya dilaksanakan, kita perlulah memiliki alat-alat atau menguasai pengetahuan-pengetahuan yang strategik.

Friday, April 23, 2010

Posted by STRATEGI MELAYU On 5:32 PM 0 comments

PENDAFTARAN




SYARAT_SYARAT KEAHLIAN



Ahli-ahli PPSMM adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia berketurunan Melayu dan beragama Islam berumur 18 tahun ke atas yang ingin memperjuangkan kepentingan-kepentingan Melayu yang strategik pada bidang ekonomi dan pendidikan.





Jika memenuhi syarat di atas, sila isikan maklumat pada borang di bawah untuk mendaftarkan diri sebagai ahli Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM). Terima kasih.


Untuk mendaftar menjadi ahli PPSMM, sila pergi ke SINI